Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar semua pihak sentiasa belajar daripada sejarah bagi mengelak daripada mengulangi sebarang kesilapan lampau.
Baginda bertitah sejarah bukannya ramalan tetapi ia catatan peristiwa yang telah berlaku secara faktual, satu rekod yang tepat, konsisten dan tidak berubah untuk dijadikan rujukan, teladan serta panduan.
"Mereka yang lupa akan sejarah, akan didera dengan mengulangi kesilapan yang sama berulang kali dan sikap tidak belajar daripada sejarah, adalah sebesar-besar pengajaran sejarah," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerah Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-60 baginda di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, anakanda baginda Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar serta Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Antara yang hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta para exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin yang dimahsyurkan sebagai Sultan Perak pada 2014 bertitah kebijaksanaan seseorang sultan dan raja menitahkan hukum serta melaksanakan keadilan dipengaruhi oleh maklumat sebenar yang sampai kepada pendengaran baginda.
"Beta amat hargai kata panduan dan kata pedoman yang disembah maklumkan oleh ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan para umarak.
"Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, beta amat insaf akan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas beta," titah Sultan Nazrin.
Titah Sultan Nazrin kesempurnaan dalam menyempurnakan amanah sebagai Sultan Perak bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat, tetapi merupakan ujian besar daripada Allah, yang akan dinilai pada hari kebangkitan kelak.
"Semoga dalam memenuhi amanah, ketika bersemayam di atas takhta kerajaan ini beta dijauhkan daripada hanyut dengan kata-kata pujian yang boleh melalikan hingga mengakibatkan beta terkabur penglihatan," titah baginda.
Dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan terhadap persepakatan yang baginda peroleh daripada semua pihak termasuk kerabat diraja Perak, polis dan tentera yang membantu dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.
"Demikian jua penghargaan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan, serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta," titah baginda.
Pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33 daripada keseluruhan 333 penerima, manakala bakinya akan menerima darjah kebesaran masing-masing pada istiadat 12 Nov depan.
Sumber: Malaysiadateline.com
No comments:
Post a Comment