OBAMA tenang mendengar serangan peribadi McCain pada debat 15 Oktober lalu. Kematangan berpolitik rakyat AS masih dihantui isu warna kulit dan tuduhan tidak berasas.
Pilihan raya Presiden kali ini bukan saja menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah, calon kulit hitam hampir mendiami Rumah Putih, tetapi ia berlaku ketika AS menghadapi krisis ekonomi paling buruk selepas 1930-an.
Kerana itu, sejak menerima pencalonan, mulanya untuk mewakili Demokrat menentang Hillary Rodham Clinton dan kemudian menghadapi saingan sebenar McCain, seluruh dunia memerhatikan dengan penuh minat bolehkah Obama, 47, yang tinjauan terbaru menunjukkan beliau mendahului McCain, 72, kira-kira lima mata, menjadi Presiden AS ke-44?
Malah, berdasarkan debat terakhir mereka Rabu lalu, tinjauan yang dijalankan rangkaian televisyen mendapati pengundi melihat Obama sebagai pemenang apabila McCain mempertahankan diri dengan cara negatif dan menyerang peribadi lawannya.
Walaupun debat itu sepatutnya membicarakan bagaimana calon Presiden bakal menangani kemelut ekonomi yang menjadi kebimbangan rakyat AS sekarang, apabila masuk ke Rumah Putih nanti, McCain tidak menjelaskannya dengan terperinci. Sebaliknya, McCain banyak membuat serangan peribadi termasuk menimbulkan kisah lama hubungan Obama dengan William Ayers, profesor dari Chicago yang membantu menubuhkan kumpulan radikal, Weather Underground, 40 tahun lalu.
Ternyata persaingan politik, walau di negara mana ia berlaku, tidak sunyi daripada taktik kotor dan serangan peribadi. Apabila sesebuah parti atau seseorang calon itu berasakan hujahan lawan lebih meyakinkan, jalan paling mudah untuk mengalih perhatian pengundi ialah serangan peribadi. Tuduhan kem McCain bahawa Obama seorang pengganas dan dilabelkan sebagai 'a potential killer' adalah yang terbaru untuk mengurangkan sokongan kepadanya.
"Kawan-kawan Barack Obama cuba membunuh keluarga saya," kata McCain dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini ketika mengimbau semula penubuhan Weather Underground pada 1970 ketika calon Demokrat itu berusia 8 tahun. Malah, nama tengah calon Demokrat itu – Hussein – dijadikan modal apabila McCain dan regunya, Sarah Palin menyebut nama itu ketika merujuk Obama dalam ucapan mereka di rapat umum Republikan. Itu belum termasuk kempen Republikan melalui televisyen dan internet untuk mencemarkan calon Demokrat itu.
Obama, yang sudah berpengalaman dengan taktik seumpama itu sepanjang 16 bulan menghadapi kempen untuk menjadi calon Demokrat menentang Clinton, bagaimanapun tidak terikut-ikut dengan cara McCain.
Sepanjang 90 minit debatnya dengan McCain pada Rabu lalu, beliau tetap tenang dan menumpukan hujahnya kepada soal ekonomi. "Ayers bukan anggota pasukan kempen saya dan beliau juga tidak akan menasihati saya di Rumah Putih," jelas Obama.
Cara Obama menghadapi serangan McCain pada debat Rabu lalu memberikan kelebihan kepadanya apabila akhbar The Washington Post, dalam ruangan editorial sehari selepas itu, menyifatkannya sebagai mempunyai potensi menjadi pemimpin 'hebat' di sebalik kekurangan pengalaman.
Akhbar berpengaruh itu memberikan sokongan 'tidak berbelah bagi' dan memuji kebijaksanaan serta skil politik Obama dan pada masa yang sama membidas McCain dan Palin.
"Pilihan menjadi lebih mudah, sebahagiannya disebabkan kempen McCain yang mengecewakan, keseluruhannya kerana pilihan tidak bertanggungjawab regunya yang tidak bersedia menjadi presiden," kata akhbar itu sambil menggambarkan Obama sebagai 'lelaki bijak, dengan genggaman berbeza mengenai isu kompleks serta skil yang terbukti terhadap perdamaian'.
Bagaimanapun, sokongan terbuka Washington Post itu tidak semestinya menjamin kemenangan Obama pada 4 November ini. Akhbar berkenaan turut menyokong dua calon Demokrat, Al Gore dan John Kerry dalam dua pemilihan presiden terdahulu tetapi ia akhirnya dimenangi oleh Presiden George W Bush.
Majoriti rakyat AS terutama di luar bandar masih lagi konservatif dan mudah termakan dengan dakyah Republikan terutama apabila ia dikaitkan dengan keganasan dan perkauman.
Lebih daripada itu, impian Obama dan mungkin juga jutaan manusia kulit berwarna di seluruh dunia untuk melihatnya ke Rumah Putih hanya boleh menjadi kenyataan jika pengundi kulit putih atas pagar sudah buta warna dan pengundi kulit hitam memberikan sokongan padu kepadanya.
AS boleh mendakwa memberi peluang sama rata kepada rakyatnya tanpa mengira warna kulit tetapi hakikatnya, isu perkauman khususnya antara warga kulit putih dengan kulit berwarna, masih tebal di negara itu.
Malah, satu kajian oleh Universiti Stanford menunjukkan prejudis kaum menyebabkan sokongan terhadap Obama berkurangan kira-kira enam peratus. Malah, kajian itu meramalkan perkauman kulit putih bakal menjadi satu-satunya sebab jika Obama tewas dalam pilihan raya Presiden kali ini.
Satu kajian New York Times Julai lalu pula menunjukkan kira-kira enam peratus responden kulit hitam tidak akan mengundi calon kulit hitam berbanding hanya lima peratus responden kulit putih. Faktor segelintir masyarakat kulit hitam enggan menyokong Obama pula berbeza – daripada tidak yakin dengan kemampuannya memimpin, rasa rendah diri kerana warna kulit sehinggalah kepada kebimbangan Obama akan mati dibunuh seperti berlaku terhadap Martin Luther King dan Malcom X.
Walaupun sejak dibenarkan mengundi pada 1960-an, antara 80 hingga 90 rakyat kulit hitam AS mengundi calon Demokrat, sejumlah lagi walaupun peratusannya kecil, tetap menyokong Republikan sekalipun parti itu tidak pernah dilihat bersimpati dengan mereka. Bagaimanapun, peratusan yang kecil ini amat penting dalam menentukan kemenangan Obama November ini. Ternyata, warna kulit masih menghantui politik AS dan menyukarkan laluan Obama ke Rumah Putih.
No comments:
Post a Comment