Tuesday, 27 October 2009

Za'ba - Pejuang Kemerdekaan Tanah Air dan Bahasa Melayu

PENDITA Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu.

Semasa mengajar di Kolej Latihan Sultan Idris, beliau berusaha untuk menyerapkan syarat-syarat aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks sekolah dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu.

HASIL KARYA ZA'BA

Artikel pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya.

Buku pertamanya yang bertajuk Umbi Kemajuan, merupakan menulisan semula karangan rencana keugamaan yang diterbitkan pada tahun 1932.

Za’ba mula menulis secara aktif semasa beliau menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.

Bakat Pendita Za’ba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya.

Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Antara hasil karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II dan Pelita Bahasa Melayu III (1958).

Seorang penulis yang bernama Dharma Wijaya menggambarkan Pendita Za’ba sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu yang sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan.

“Perjuangan Za’ba lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan khususnya dalam pendidikan, penyelidikan dan penulisan,” ujar Dharma Wijaya dalam satu teks ucapan.

Untuk menghargai sumbangan pendita Za’ba dalam bidang penulisan, Universiti Malaya menamakan salah sebuah perpustakaannya sempena namanya (Perpustakaan Peringatan Za’ba) untuk mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu.

LATAR BELAKANG

Za’ba dilahirkan pada tahun 1895 di sebuah kampung terpencil yang terletak dekat Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan.

Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama, oleh itu tidak hairanlah penulis ini telah belajar berkhatam Al-Quran, menghafal Surah Yassin dan berzanji ketika usianya mencecah tujuh tahun.

Pendita pujaan ramai ini hanya menjejakkan kakinya ke sekolah pada usia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Beliau kemudiaannya, bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami ilmu pengajian Arab dan Islam lanjut.
Penulis ulung ini merupakan pelajar Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menghabiskan zaman persekolahannya (Senior Cambridge) dari darjah satu hingga darjah enam dalam jangka masa enam tahun.

Pada tahun 1917, Za’ba melangkah ke alam perkhawinan dan mempunyai seorang anak perempuan.

Namun, ianya tidak kekal lama. Karyawan ini kemudiannya berkhawin sekali lagi dengan Fatimah Umar dan menjaga anak perempuannya itu.
USAHA MENENTANG PENJAJAH

Za’ba, merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya.

Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya.
Za'ba duduk dari tempat kedua dari kanan. Gambar ini diambil pada bulan Ogos 1929. -Foto THE STAR
Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhimatan masyarakat. Beliau menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada tahun 1937.

Pada tahun 1946, pendita ini dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO di kongres menentang pembentukan Malayan Union.

Beliau keluar dari dunia politik selepas Piagam Umno diterima dan diluluskan.

PERJALANAN KARIER

Za’ba pernah berkhimat sebagai seorang guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1918.

Kerjayanya sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London bermula pada tahun 1947.
Kemudiannya, Za’ba bersara dari perkhimatan kerajaan ketika berumur 55 tahun.

Penulis ulung ini dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di Universiti Malaya, Singapore pada tahun 1953.

Dengan bantuan Ungku Aziz, Za’ba menjadi pengasas pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun berikutnya, membentuk Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Karyawan yang menjadi tulang belakang penggunaan Bahasa Melayu yang kita gunakan kini, menerima gelaran Pendeta secara rasmi pada tahun 1956.

Za’ba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 pada usia 78 tahun.

2 comments:

hasifzizan said...

salam ust~ syukran atas info za'ba... anak sangat memerlukan info nie untuk rajukan assgment uia... tnks ust... ^_^

Ira said...

Thank you so much for the almost accurate information.I really need it for my assignment. Once again, thank you :)