Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Friday 31 July 2009

Peperiksaan Percubaan PMR 2009













Salam kecemerlangan buat semua calon Pmr SMIAAG yang bakal menduduki peperiksaan percubaan pada minggu hadapan. Sejarah2u akan sentiasa mendoakan kejayaan anda semua.

Kini sudah sampai masanya untuk anda membuktikan segala usaha, masa dan wang ringgit yang dicurah selama ini bukanlah satu yang sengaja disia-siakan. Tetapi..akan ditebus dengan hasil yang gilang-gemilang hinggalah saat menghampiri PMR kelak.

Janganlah dihitung berapa banyak pengorbanan yang perlu anda dicurahkan, tetapi hitunglah bahawa adakah itu pengorbanan dan usaha yang terbaik mampu diusahakan oleh anda atau sebaliknya.

Banyakkanlah berdoa, bermunajat, memohon ampun dan bertawakkal kepada Allah Swt, kerana hanya DIA-lah sahaja sebaik-baik penolong di kala susah mahupun senang. Dan mohonlah juga restu ibu bapa dan para guru yang sanggup berkorban demi melihat kejayaan anda.

Akhir bicara, sambutlah salam perjuangan..dan salam kecemerlangan buat anda semua daripada sejarah2u... :)

Analisis Soalan Kertas 2 Sejarah SPM 2004-2009

Salam Sejarah buat semua murid dan pengunjung Sejarah2u yang dikasihi lagi dihormati. Didoakan moga sihat-sihat walafiat sahaja hendaknya serta paling penting, terhindar daripada serangan pelbagai virus berbahaya yang muncul mutakhir ini.

Kepada para calon SPM pada tahun ini..adakah anda telah membuat kajian analisis soalan yang telah keluar pada lima tahun lepas? Jika belum, hari ini sejarah2u akan memaparkan bahan berkaitan analisis soalan tersebut untuk membantu para calon mengenalpasti soalan-soalan yang telah keluar dan mengulangkaji sejarah kertas 2 secara lebih fokus dan sistematik.

Untuk mendapatkan analisis tersebut, sila klik di sini.

" Moga Anda Beroleh Kecemerlangan Dalam Peperiksaan SPM 2009 serta Berbahagia di Dunia dan di Akhirat. Amiin "

Tuesday 28 July 2009

Sejarah Dalam Puisi

"Dibakar Semangat Zaman Jepun"

Wahai anak bumi tercinta
Kenanglah sengsaranya hidup kita
Di bawah cengkaman Jepun durjana
Kulit kayu dan guni beras pakaian kita
Diri bergelumang penyakit berbisa

Ubi kayu, keledek, jagung dan keladi
Jadi santapan sepanjang hari
Malaria, beri-beri, tibi dan
Kudis buta menjadi-jadi
Rakyat derita maut menanti
Hidup sengsara setiap masa
Kempetai yang zalim mencari mangsa
Siapa menyanggah buruk padahnya

Sedarlah wahai anak bangsaku
Betapa kejamnya si Jepun itu
Bermaharajalela mengganas
dan menganiaya....

Wahai anak bangsa bumi tercinta
Bangkitlah dikau dari mimpi ngeri
Marilah berganding bahu
Pertahankanlah ibu pertiwimu
Agar derita tidak berulang lagi!

Raja ada kuasa tiada
Pembesar menjadi boneka belaka
Jepun berjanji memberi merdeka
Rupanya mereka menipu kita
Inilah lumrah penjajah durjana
Dasar penjajah serupa sahaja!

Iltizam Kecemerlangan

IKRAR KEMENANGAN SEJARAH SPM 2009M

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Kami berikrar…
Sesungguhnya kami,
hanya menuntut ilmu keranaMu,
Demi mengharapkan redhoMu,
Mengharapkan ehsan dan keberkatan dariMu.

Sesungguhnya kami,
berazam untuk menggapai kecemerlangan,
Tidak akan berundur, tetapi.. akan terus mara berjuang..
Sesungguhnya kami, tidak akan pulang…
Melainkan, membawa ‘A1’ dalam genggaman…


Sesungguhnya SEJARAH,
adalah sangaattt senang,
‘A’… tidak menjadi masalah buat kami…
Kami akan tersenyum dan terus tersenyum memburunya..

Sesungguhnya kami,
tidak akan malas dan lemah,
Akan tetapi, terus kuat dan gagah perkasa.
Sesungguhnya kami,
tidak akan mudah merasa puas
Akan tetapi,
akan terus gigih berusaha, dan berusaha tanpa jemu.

Ya ALLAH! Bantulah perkenankan kemenangan kami..
Kerana kejayaan ini ..
adalah demi ummah, dan Izzah agamaMu.
Ya ALLAH! Jadilah saksi ikrar kami..
Kerana hanya kepadaMu, kami berserah diri dan bertawakkal.


Takbir 1x

(Nota: Ikrar ini akan dibaca oleh penghulu PUI Sejarah SPM '09, Saudara Mohd Adam b. Yasimin sebelum dan selepas kelas untuk mendorong motivasi murid mecapai kejayaan)

Puisi 'Membaca Sejarah'

'Membaca Sejarah'

bertahun sudah kita berkelana
terseok-seok menyeret hati yang takjub
dan sesekali tercenung
tatkala kembali mengenang
nama demi nama para sahabat serta tetangga
yang pernah kita sapa dengan bahasa akrab
tetapi kini telah berubah menjadi samar
di sebalik ribuan topeng atau genangan air mata

kita tak tahu
apakah takdir mesti dipersalahkan
dengan ribuan kata-kata kesal
bila manusia mudah menjadi mabuk
kerana janji atau umpan puja
sedangkan bersilih tahun dentum dan raung halilintar
tetap tak akan mengubah segala yang sudah ditulis
dengan dakwat yang teramat hitam
serta tidak akan dapat dipadam
dan bibir kita semakin menjadi bosan
mengucapkan kata demi kata
untuk membujuk segala rawan atau hiba
yang telah menjadi sia-sia

betapa meski dengan hati takjub dan sesekali tercenung
kita semakin menjadi dewasa oleh muslihat manusia
di saujana ini tanah bernama dunia
dan dengan hati yang tidak pernah sudi berdendam
tubuh kita yang semakin renta di henyak waktu serta
kejadian
terus terseok-seok sendirian melangkah
membaca huruf demi huruf
di lembarmu, aduhai sejarah

kerana kau tidak pernah alpa mencatatkan.

Kuantan, 8 Mac 2002
Hasil nukilan Marsli N.O

Minda Sejarah: Ciri-ciri Guru Sejarah Cemerlang

Salam perjuangan buat semua guru Sejarah yang dihormati lagi disegani meski di manapun kalian semua sedang berkhidmat kini demi membangun jiwa anak bangsa agar menjadi insan terpimpin dan memimpin peradaban ke mercu kegemilangan.

Pada kali ini Minda Sejarah akan berkongsi satu tajuk penting ke arah merealisasikan matlamat melahirkan ciri-ciri guru sejarah yang berkesan.

Apakah rasionalnya guru sejarah perlu mempunyai ciri-ciri cemerlang? Jawapannya adalah sangat mudah iaitu seorang murid akan lebih cemerlang jika dibimbing oleh seorang guru yang cemerlang.

Tidaklah bermakna penulis merupakan pencinta dan pembimbing sejarah yang berkesan apatah lagi cemerlang, namun sekadar berkongsi serba sedikit pengalaman diri dan rakan-rakan guru sejarah lain yang telah mencipta kecemerlangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Guru sejarah berkesan memiliki ciri-ciri personal, profesional, sosial dan interpersonal yang unggul. Selain daripada mendapat latihan yang baik dan berpengalaman dalam mata pelajaran sejarah, guru sejarah berkesan juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam merancang kurikulum, mengurus kurikulum dan melaksanakan kurikulum sejarah dengan berkesan dalam pelan tindakan organisasi pembelajaran di sekolah. Pada umumnya seorang guru sejarah berkesan mempunyai ciri-ciri berikut :

(1) Dapat mengembangkan stail, kaedah, pendekatan, strategi pengajaran yang berkesan bagi mencorakkan pembelajaran yang bermakna, memupuk minat dan mengembangkan potensi murid-murid.

(2) Dapat menyusun dan merancang pembelajaran yang mencabar kebolehan murid ke arah pengembangan pemikiran dan menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitikal dan kreatif.

(3) Dapat mencorakkan situasi pembelajaran yang menarik dan menjadikan mata pelajaran sejarah relevan, penting dan berguna kepada pembangunan dan perkembangan diri murid.

(4) Mempunyai kebolehan istimewa seperti kebolehan bercerita, berlakon, daya imaginasi, kemahiran berkomunikasi, berjenaka, daya intelektual yang tinggi, disegani dan dihormati murid.

(5) Mempunyai personaliti yang disenangi oleh murid, menjadi pendorong dan 'role model' kepada para pelajar.

(6) Mengamalkan pembelajaran aktif (active learning), mendorong penglibatan aktif murid dan memberi peluang yang luas kepada murid mengembangkan kebolehan dan potensi mereka.

(7) Kreatif dan inovatif, khususnya dari segi pengajaran, pembelajaran, personaliti dan penggunaan pelbagai inivasi media dan teknologi pembelajaran.

(8) Patriotik dan 'Cinta Tuhan', iaitu satu kualiti kebolehan guru sejarah membangkitkan semangat, memupuk kesedaran, menyuburkan idealisme, dan membina wawasan bersama dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di bilik darjah.

(9) Mempunyai kewibawaan dan karisma sebagai guru dan pemimpin pendidikan yang berkesan dalam pengajaran mata pelajaran sejarah.

(10) Menonjolkan ciri-ciri personal yang berkesan seperti ikhlas, mesra, penyayang, ceria, tenang, berfikiran positif dan terbuka, bijak, bertimbang rasa, bermotivasi tinggi, mempunyai wawasan dan inspirasi serta berkebolehan menjana perubahan dan kemajuan diri murid.

(11) Mempunyai kebolehan berhujjah, kemampuan menjana dan mencetuskan pemikiran aras tinggi, berpengetahuan yang luas, dedikasi terhadap tugas pengajaran, minat dan dorongan profesional bagi memaju dan meningkatkan kualiti pengajaran, semangat berusaha menjadikan diri cemerlang dan pakar bidang yang diajar serta sentiasa berusaha memajukan diri dalam profesion perguruan yang diceburi.

Tuntasnya, kegagalan dan keengganan guru sejarah mengekalkan sifat-sifat guru sejarah yang berkesan, cemerlang dan bermotivasi tinggi boleh memberi impak yang buruk kepada kemajuan dan perubahan pendidikan yang perlu berlaku di peringkat sekolah.

Perlaksanaan kurikulum sejarah di sekolah mungkin tidak berlaku secara dinamik dan progresif sekiranya kurang kesediaan dalam kalangan guru sejarah bagi melaksanakan pembaharuan, selaras dengan perkembangan arus pendidikan semasa.

Faktor-faktor penentu seperti perubahan sikap guru, penguasaan aplikasi inovasi dan teknologi maklumat, latihan dalam pengurusan dan perlaksanaan, memperkenalkan teknik dan strategi baru yang efektif dan mampu dilaksanakan, pemberian insentif kepada guru, pembentukan 'teamwork' dalam organisasi sekolah dan sebagainya perlu diambilkira dalam perlaksanaan pembaharuan dan perubahan ke arah merealisaikan lebih ramai guru sejarah yang mempunyai ciri-ciri guru sejarah cemerlang.

Sunday 26 July 2009

Sebaik-baik Suluhan..


" Pengajaran agama itu sangat-sangatlah mustahak adanya bagi menjamin bangsa manusia menjalani kehidupan yang betul dalam dunia ini. Kerana agamalah panduan yang berasal dari pihak Tuhan sendiri bagi segala hal ehwal dan pekerjaan hidup yang bersangkut dengan urusan baik dan jahat, betul atau tidak betul, dan agamalah sebaik-baik suluhan untuk menerangi jalan kepada orang-orang yang di dalam gelap ".

Sumber: Za'ba, Mencapai Keluhuran Budi, DBP, Kuala Lumpur, 1989

Pertandingan Menulis Sejarah Malaysia 2009

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi.

Untuk kesekian kalinya, Persatuan Sejarah Malaysia akan menganjurkan pertandingan mengarang esei Sejarah Malaysia 2009.

Antara objektif pertandingan ini adalah untuk:

1. Menggalakkan pelajar menjalankan kajian penyelidikan dan menulis sejarah Malaysia

2. Menggalakkan Guru Sejarah membimbing pelajar menyelidik sejarah Malaysia

3. Menimbulkan kesedaran, minat dan penghayatan dalam kalangan pelajar terhadap sejarah Malaysia

4. Menggalakkan Persatuan Sejarah di sekolah untuk membantu pelajar membuat kajian dan penyelidikan sejarah tanah air

5. Memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar

6. Mendapatkan karya yang bermutu untuk diterbitkan, sebagai usaha memperkayakan sumber sejarah tanah air

7. Memperbanyakkan bahan rujukan sejarah tempatan di Persatuan Sejarah Malaysia

Untuk maklumat lanjut sila klik pada brosur di atas.

Saturday 25 July 2009

Terima kasih Sejarah2u!!

Ketika sibuk penulis menyediakan bahan semasa sesi PUI pertama pada 16 Julai lepas, penulis dihampiri oleh seorang pendebat utama SMIAAG dalam pertandingan Debat Antarabangsa Musleh yang sangat penulis kenali. Memikirkan persoalan sejarah yang akan ditanya, tapi sebaliknya adalah ucapan,"Terima kasih sangat-sangat buat ustaz dan blog Sejarah2u". Penulis sedikit tergamam serta masih belum dapat menangkap maksud dan tujuan ungkapan itu ditujukan.

Lalu penulis bertanya, "kenapa perlu berterima kasih yer?". Beliau menyatakan penghargaan itu adalah kerana bahan-bahan yang penulis masukkan dalam weblog sejarah2u telah memberikan pasukan SMIAAG banyak input untuk dijadikan modal hujah, khususnya semasa perlawanan akhir menentang SMI al-Hidayah di bawah tajuk usul,'Pemansuhan PPSMI adalah Wajar'. Beliau juga menyatakan bahawa banyak bahan berkaitan PPSMI yang beliau baca dan cetak melalui sejarah2u dan dijadikan modal pasukan SMIAAG yang akhirnya telah mengungguli kejuaraan debat kategori bahasa Melayu.

Setelah diberitahu hal tersebut, penulis berasa begitu berbangga kerana dapat membantu pasukan SMIAAG meski secebis sumbangan yang tidak seberapa melalui weblog sejarah2u. Seingat penulis demi menyokong isu pemansuhan PPSMI, penulis telah memasukkan hampir 10 bahan berkaitan samada dalam bentuk petikan akhbar, forum perbincangan, lakaran kartun dan kata-kata tokoh.

Semoga Sejarah2u terus menyantuni ummat yang mencintai ilmu dan tradisi kegemilangan peradaban terdahulu dan peradaban yang akan datang dengan izin dari-Nya jua. InsyaAllah.

Monday 13 July 2009

Selamat ber'PUI'

Salam Sejarah buat semua pengunjung sejarah2u, khususnya anak2 didik tingkatan 3 dan 5 di SMIAAG yang ketika posting ini ditulis sedang melalui proses pengukuhan dan penghadaman ilmu melalui proses PUI (Persediaan Ulangkaji Intensif) sehingga menjelang hari peperiksaan besar PMR dan SPM 2009.

Cabaran ber'PUI' memang tidak dapat dinafikan, tetapi dengan tekad, kecekalan utuh dan semangat yang penuh bermotivasi untuk muncul yang terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan seharusnya mampu menjadikan semua cabaran yang bakal dihadapi sepanjang ber'PUI' dapat diatasi dengan penuh keinsafan dan penuh rasa sedar.

Akhiru kalam, marilah kita ber'PUI' dengan penuh bersemangat demi melakar sebuah kejayaan gilang gemilang pada masa hadapan dan berbahagia di dunia dan akhirat. AMeen :)

SMIAAG di persada dunia

Sejarah2u merakamkan salam tahniah kepada pasukan debat B.Melayu dan B. Inggeris yang terlibat dalam Pertandingan Debat Antarabangsa anjuran MUSLEH yang telah berlangsung di Hotel Putra pada 9 - 12 Julai yang lepas.

Kejayaan merangkul gelaran johan oleh pasukan debat B.Melayu dan naib johan oleh pasukan debat B.Inggeris dirasakan cukup manis dan memberi reputasi cemerlang kepada institusi pendidikan seperti SMIAAG di peringkat tertinggi.

Kejayaan ini bertambah manis dan bermakna dengan penyertaan sekolah-sekolah terpilih daripada Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand.

Tahniah kepada pihak penganjur, para pendebat dan semua yang terlibat menjayakan pertandingan berstatus dunia ini. Semoga lebih banyak kejayaan bakal dikecapi oleh pasukan debat SMIAAG pada masa depan. InsyaAllah

Catatan: Teringat penulis ketika mula membentuk pasukan debat di bumi SMIAAG tercinta sekitar tahun 2005..penuh kesederhanaan tapi cekal dan berkobar semangat juang mencipta sejarah demi Al-AMin. Kejayaan hari ini dirasa cukup berbaloi dengan tekad dan pelaburan 'modal insan' yang dibina penuh kesabaran pada masa dahulu. Teruskan perjuangan kalian wahai generasi Al-AMin meski di mana pun kalian berada!

Wednesday 8 July 2009

Kerajaan Akui PPSMI Banyak Kelemahan

Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa dua subjek itu diajar dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media khas mengumumkan pembatalan dasar tersebut mulai 2012.

Tambahnya, berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di SJK Cina dan SJK Tamil.

Kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat diteruskan seperti dihasratkan, lapor agensi berita itu lagi.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," Muhyiddin dipetik berkata.

Menurutnya lagi, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, tambah Muhyiddin, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap kepetahan.

Katanya, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya seperti dilaporkan.

PPSMI dimansuhkan mulai 2012

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansukan sepenuhnya pada 2012.

Sumber: Malaysiakini.com/bm

Wednesday 1 July 2009

Skor A Siri 8/09

Tajuk: Dasar British dan Kesannya Terhadap Ekonomi Negara


Soalan Esei

1. a) Terangkan faktor-faktor perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu (10 markah)

b) Jelaskan usaha-usaha untuk menstabilkan harga getah. (5 markah)

c) Mengapakah orang Melayu hanya terlibat sebagai pekebun kecil getah?
(5 markah)


Soalan Struktur

1.a) Apakah faktor yang menyebabkan kemunculan bandar baru di Tanah Melayu? (4 markah)

i. ....................................................................................................
ii. ...................................................................................................
iii. ..................................................................................................
iv. ..................................................................................................

b) Nyatakan fungsi bandar (2 markah)

i. ...................................................................................
ii. ..................................................................................

c) Nyatakan ciri demografi bandar baru di Tanah Melayu. (2 markah)

i. ....................................................................................
ii. ...................................................................................

d) Mengapakah pembentukan bandar baru tidak menguntungkan orang Melayu? (4 markah)

i. ...................................................................................
ii. ..................................................................................
iii. .................................................................................
iv. .................................................................................