Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Saturday, 23 January 2010

Khazanah Pattani

MENYEBUT saja Pattani, sebuah daerah terletak di selatan Thailand, perkara pertama berlegar di kepala ialah keadaan huru-hara yang menjadi punca beberapa siri gerakan menuntut kemerdekaan wilayah dari kawasan berkenaan.

Konflik demi konflik serta peristiwa berdarah dilaporkan media tempatan tidak dinafikan sedikit sebanyak menjunamkan semangat untuk meneroka bumi berselirat sungai dan pantai, mewah khazanah alam serta unggul adat resam dan budaya itu.

Bangunan bata merah penuh peristiwa: Masjid yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah sehingga kini masih tidak siap


Begitupun, dalam resah dan gentar, pesona Pattani tetap memikat pelancong. Daerah yang dihuni hampir 85 peratus penduduk Islam itu menawarkan banyak sejarah silam untuk dihayati.

Bahkan, sebelum dikenali sebagai wilayah yang ampuh pegangan Islamnya, rentetan sejarah Pattani amat panjang, termasuk pernah menjadi sebahagian jajahan takluk Langkasuka, diperintah kerajaan Melayu-Pattani, pengislaman Raja Phyatu Indhra oleh Syeikh Said pada kurun ke 15 yang membawa pengaruh Islam dalam budaya dan gaya hidup masyarakatnya.

Kunjungan ke Pattani belum sempurna andainya gagal menjejak kaki ke Masjid Krisek (Kruese). Ia terletak di Kampung Krisek, mukim Tanjung Luluk daerah Mueang.

Menurut cerita dari mulut ke mulut, masjid itu dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1530-1564) sehingga kini tidak pernah siap sepenuhnya gara-gara sumpahan seorang kakak yang enggan merestui adiknya menganut Islam.

Justeru, sejak peletakan batu asas hingga ke hari ini, seni bina masjid berkenaan kekal dengan bata merah tanpa cat, bertiang bulat dengan rekaan pintu berbentuk selekoh tajam. Seimbas pandang, masjid ini kelihatan seperti kota lama yang menghuni kawasan tanah tinggi.

Hanya pada zaman pemerintahan Raja Hijau (1584-1616), rumah ibadat itu disentuh pembaharuan, hasil garapan istimewa tukang dari Cina, Lim Tau Khiang. Sejak itu, ia diubahsuai beberapa kali termasuk ketika pemerintahan Long Yunus dan Tuan Sulung.

Namun, disebabkan keadaannya terlalu uzur dan usang, ditambah pula ekonomi Pattani lumpuh akibat peperangan, sultan mengambil keputusan membina masjid baru di Kampung Bana. Kesannya, Masjid Krisek ditinggal terbiar sehingga bersemak-samun.

Bagaimanapun, oleh kerana nilai sejarahnya, pada 1935, Jabatan Arkeologi dan Antikuiti Thailand mengisytiharkannya sebagai tapak sejarah sekali gus memungkinkan kerja pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan dilakukan pada 1957, 1982 dan 2004.

Selain sebagai tempat beribadat dan mengerat silaturahim, tujuan pengekalannya dibuat kerana ia dianggap khazanah penting negara.

Antara kira-kira 600 masjid di Pattani, Masjid Jamek Pattani di Thanon Yarang kini menjadi pusat tumpuan orang Islam tempatan beribadah serta mendalami ilmu agama. Dibina pada 1954 dan selesai menjelang 1963, seni binanya mengambil inspirasi Arab dan monumen tersohor, Taj Mahal.

Sumber: Berita Harian Online

No comments: