Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Friday, 30 October 2009

Kegemilangan Istiadat Pertabalan Yamtuan: Sejarah Tercipta Selepas 42 Tahun

Negeri Sembilan menyaksikan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang telah berlangsung penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pada 26 Okt yang lalu.

Istiadat pertabalan ini berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti dari 22 hingga 28 Okt 2009.

Istiadat ini mengulangi sejarah lebih 42 tahun lalu, upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 18 April 1967.

Istiadat pertabalan pada 26 Okt lalu merupakan istiadat kemuncak selepas hampir setahun bermula dengan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Dis 2008 berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar dua hari sebelumnya.

Proses pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merupakan suatu yang unik kerana dilakukan oleh Undang Yang Empat -- Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau -- setelah dilantik daripada putera-putera yang layak dicalonkan.

PERJALANAN PERTABALAN

Istiadat pertabalan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti pada 22 Okt oleh Pegawai 99 yang diketuai Datuk Seri Amar Diraja.

Alat-alat kebesaran ini terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol kuning, hitam dan merah.

Alat-alat ini akan kekal terpasang di halaman Istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan dilakukan pada 28 Okt.

Ini diikuti dengan tembakan dua das meriam.Istiadat seterusnya ialah istiadat bersiram pada 25 Okt lalu melibatkan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku BEsar Mahmud.

Baginda berdua seterusnya bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, disusuli dengan lapan das tembakan meriam.

Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali.

Baginda berdua kemudiannya bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli lapan das tembakan meriam lagi.

ISTIADAT PERTABALAN

Istiadat pertabalan berlangsung pada 26 Okt di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat tersebut bermula dengan ketibaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin di sebelah pagi di perkarangan Istana.

Setelah bermalam di rumah telapak (rumah persinggahan) masing-masing, Undang Yang Empat berehat di balai-balai sementara yang disediakan khas di luar perkarangan Istana Besar Seri Menanti sebelum berjalan kaki memasuki perkarangan Istana Besar Seri Menanti diiringi oleh Datuk-Datuk Lembaga masing-masing. Lima belas das tembakan meriam akan dilepaskan.

Undang Luak Sungai Ujong akan berjalan dari Balai Melintang, Undang Luak Jelebu dari Balai Serong, Undang Luak Johol dari Balai Bertingkat manakala Undang Luak Rembau dari Balai Panjang.

Untuk membaca lanjut, sila klik di sini.


"Tegak Rumah Kerana Sendi, Runtuh Sendi Rumah Binasa, Sendi Bangsa Adalah Budi, Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa. Adat Bersaudara, Saudara Dipertahankan, Adat Berkampung, Kampung Dipertahankan, Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan, Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan, Adat Beragama, Agama Dipertahankan".

Skor A Siri 10/09

Latihan Soalan Esei

F= Fakta , H= Huraian, C= Contoh

Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 merupakan asas pembinaan negara dan bangsa Malaysia yang ada pada hari ini.

Soalan 1: Jelaskan konsep sistem politik masyarakat Melayu tradisional.

F1 Negara adalah kerajaan
F2 Disebabakan adanya raja
F3 Kedudukan raja tinggi dan istimewa
F4 Bertanggungjawab memberikan perlindungan politik
F5 Menjamin keselamatan rakyat
F6 Rakyat yang mendiami wilayah raja akan mengakui kekuasaan raja
F7 Kesetiaan rakyat terhadap raja menentukan sempadan kerajaan
F8 Kerajaan kuat akan menakluk atau menanungi kerajaan yang lemah
F9 Kesultanan Melayu Melaka mempunyai banyak negeri taklukan dan naungan
F10 Negeri bererti kawasan
F11 Seperti negeri Larut, negeri Bernam, dan negeri Krian

Soalan 2: Apakah unsur-unsur warisan Kesultanan Melayu Melaka yang masih diamalkan di negeri-negeri Melayu hingga hari ini?

F1 Mengamalkan sistem beraja
F2 Menggunakan gelaran sultan pada awal nama
F3 Kesultanan Perak, Johor, dan Pahang diasaskan oleh kerabat diraja Melaka
F4 Sistem pewarisan takhta mementingkan jurai keturunan sebelah bapa (patrilineal)
F5 Putera sulung sultan dengan permaisurinya mewarisi takhta kerajaan
F6 Sultan tiada putera, adik lelaki sultan boleh mewarisi takhta
F7 Mengamalkan Sistem Pembesar Empat Lipatan
F8 Perbezaan hanya pada gelaran pembesarnya
F9 Kitab undang-undang bagi Johor, Perak, dan Pahang disalin dan dipinda berdasarkan Hukum Kanun Melaka
F10 Adat istiadat Melayu
F11 Agama Islam adalah agama rasmi
F12 Bahasa Melayu melambangkan penyatuan bangsa dan bahasa kebangsaan
F13 Alat kebesaran diraja

Thursday, 29 October 2009

Majlis Solat Hajat SPM 2009

Salam Sejarah buat semua anak didik di tingkatan 5 yang dikasihi Allah Swt.

Pihak Kelab Kelas Tingkatan 5 akan menganjurkan majlis Solat Hajat untuk semua para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Diharap kalian hadir dan menjemput ibu bapa masing-masing untuk hadir bersama bagi menjayakan majlis yang besar maknanya buat kalian semua.

Jadual penuh majlis adalah seperti di bawah:

Tarikh/ Hari : 30 Oktober '09 / Jumaat
Tempat : Surau Al-Amin
Masa : 7.00 pm - 9.30 pm
Tentatif : Solat maghrib, Tazkirah, Solat Isya' , solat Hajat, jamuan ringan (potluck), bersurai.

Semoga segala hajat yang kita pohon bersama diterima di sisi Allah Swt...demi kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat. InsyaAllah

p/s: kepada sesiapa yang ingin mendapatkan kertas percubaan SPM MRSM '09, sila klik di sini.

"Ingat Sejarah...Ingat Sejarah2u" :)

Tuesday, 27 October 2009

Za'ba - Pejuang Kemerdekaan Tanah Air dan Bahasa Melayu

PENDITA Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad tidak pernah mengenal erti berputus asa dan pernah berjuang untuk meninggikan martabat Bahasa Melayu suatu masa dahulu.

Semasa mengajar di Kolej Latihan Sultan Idris, beliau berusaha untuk menyerapkan syarat-syarat aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks sekolah dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu.

HASIL KARYA ZA'BA

Artikel pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya.

Buku pertamanya yang bertajuk Umbi Kemajuan, merupakan menulisan semula karangan rencana keugamaan yang diterbitkan pada tahun 1932.

Za’ba mula menulis secara aktif semasa beliau menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.

Bakat Pendita Za’ba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya.

Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Antara hasil karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II dan Pelita Bahasa Melayu III (1958).

Seorang penulis yang bernama Dharma Wijaya menggambarkan Pendita Za’ba sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu yang sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan.

“Perjuangan Za’ba lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan khususnya dalam pendidikan, penyelidikan dan penulisan,” ujar Dharma Wijaya dalam satu teks ucapan.

Untuk menghargai sumbangan pendita Za’ba dalam bidang penulisan, Universiti Malaya menamakan salah sebuah perpustakaannya sempena namanya (Perpustakaan Peringatan Za’ba) untuk mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu.

LATAR BELAKANG

Za’ba dilahirkan pada tahun 1895 di sebuah kampung terpencil yang terletak dekat Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan.

Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama, oleh itu tidak hairanlah penulis ini telah belajar berkhatam Al-Quran, menghafal Surah Yassin dan berzanji ketika usianya mencecah tujuh tahun.

Pendita pujaan ramai ini hanya menjejakkan kakinya ke sekolah pada usia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Beliau kemudiaannya, bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami ilmu pengajian Arab dan Islam lanjut.
Penulis ulung ini merupakan pelajar Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menghabiskan zaman persekolahannya (Senior Cambridge) dari darjah satu hingga darjah enam dalam jangka masa enam tahun.

Pada tahun 1917, Za’ba melangkah ke alam perkhawinan dan mempunyai seorang anak perempuan.

Namun, ianya tidak kekal lama. Karyawan ini kemudiannya berkhawin sekali lagi dengan Fatimah Umar dan menjaga anak perempuannya itu.
USAHA MENENTANG PENJAJAH

Za’ba, merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya.

Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya.
Za'ba duduk dari tempat kedua dari kanan. Gambar ini diambil pada bulan Ogos 1929. -Foto THE STAR
Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhimatan masyarakat. Beliau menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada tahun 1937.

Pada tahun 1946, pendita ini dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO di kongres menentang pembentukan Malayan Union.

Beliau keluar dari dunia politik selepas Piagam Umno diterima dan diluluskan.

PERJALANAN KARIER

Za’ba pernah berkhimat sebagai seorang guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1918.

Kerjayanya sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London bermula pada tahun 1947.
Kemudiannya, Za’ba bersara dari perkhimatan kerajaan ketika berumur 55 tahun.

Penulis ulung ini dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di Universiti Malaya, Singapore pada tahun 1953.

Dengan bantuan Ungku Aziz, Za’ba menjadi pengasas pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun berikutnya, membentuk Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Karyawan yang menjadi tulang belakang penggunaan Bahasa Melayu yang kita gunakan kini, menerima gelaran Pendeta secara rasmi pada tahun 1956.

Za’ba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 pada usia 78 tahun.

Friday, 23 October 2009

Kelas Intensif Sejarah SPM '09

Salam Sejarah buat anak-anak didik yang dikasihi. Moga kalian terus menekuni ilmu dan lebih gigih menelaah pelajaran ketika ini.

Dimaklumkan bahawa Panitia Sejarah SMIAAG akan mengadakan kelas intensif Sejarah bagi menghadapi peperiksaan SPM yang bakal menjelang tiba.

Objektif diadakan kelas ini adalah bagi memantapkan persediaan akhir dalam kalangan calon serta menjadi landasan mengukur tahap kesediaan calon dalam menghadapi apa jua bentuk soalan yang bakal muncul samada dalam kertas 1, mahupun kertas 2.

Kelas intensif ini juga bermatlamat untuk mencapai sasaran calon menjawab minimum 2000 soalan objektif serta menguasai kaedah menjawab struktur dan esei dengan lebih mantap dan berkeyakinan tinggi.

Panitia bersetuju untuk memilih hari RABU (3.40 pm-4.40 pm) dan JUMAAT (2.30 pm-4.00 pm) dan diadakan di dewan seminar SMIAAG. Kelas akan bermula pada hari Rabu, 28 Oktober '09.

Kelas intensif ini terbuka kepada semua calon yang fokus untuk skor A bagi subjek Sejarah dalam SPM kelak. Sesungguhnya tiada istilah 'mustahil' untuk menggapai sebuah kejayaan..yang penting adalah terus gigih berusaha dan fokus untuk sentiasa melakukan hanya yang terbaik demi sebuah kecemerlangan.

Kepada sesiapa lagi yang berminat untuk menyertai kelas intensif ini, sila daftarkan nama anda kepada Ust Isharuddin bagi memudahkan urusan logistik.

"Ingat Sejarah...Ingat Sejarah2u" :)

Tuesday, 20 October 2009

Hari Malaysia Diisytihar Cuti Umum

KUALA LUMPUR, 19 Okt. 2009 – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun, diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

“Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi semalam dengan menyaksikan Perdana Menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi semalam.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Najib berkata, pembentukan Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat merupakan titik sejarah yang amat penting dan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dirasai oleh rakyat di Semenanjung.

Sumber: Bernama

Monday, 19 October 2009

Tinta Strategis: Dunia Pasca 11 September (911) - Siri 2


Imej ISLAM

Kedangkalan pemikiran dan sifat prejudis media global dan Barat terhadap Islam menjadikan Islam dipandang sebagai agama keganasan sehingga melahirkan gejala ‘Islamiphobia’ yang cukup digeruni Barat.

Islam menjadi ‘kambing hitam’ bagi isu 911. Masyarakat Islam di Barat sentiasa berada dalam kebimbangan kerana merasakan diri mereka semakin terancam.

Bagi kebanyakan negara Eropah dan Barat seluruhnya melihat perkembangan Islam dan umatnya di kalangan mereka sebagai ancaman kepada suasana hegemoni Barat dan politik multiculturalism untuk jangka panjang. (Tariq Modood:Muslim & the Politics of Multiculturalism)

Islam, selepas 11 September terpampang sebagai musuh Barat, dan bukan setakat sebagai pencabar kepada tamadun Barat sebagaimana yang dinukilkan oleh Samuel Huntington. Islam disamatarafkan dengan komunisme – lantas ia digelar ‘komunisme Baru’.

Kehidupan Barat yang berpaksikan falsafah sekular moden, dan keamanan Barat yang terbentuk oleh kemajuan material, difikir akan tercabar sekiranya negara muslim berperintahan cara Islam, atau pengaruh Islam merebak di rantau yang strategis seperti Timur Tengah.

Pakatan ketenteraan Barat mula dihala kepada Islam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung NATO, “Islam ‘militan’ adalah ancaman menggerunkan kepada keselamatan Barat”. (“March of the Militants,” Far Eastern Economic Review, 1995)

Perkembangan Islam di beberapa buah negara Arab juga membimbangkan pemimpin dan pembuat dasar Barat yang sensitif terhadap masa depan cara hidup dan ‘survival’ kebudayaan mereka. Justeru, Barat berterusan memainkan peranan utama untuk menghalang kepada kebangkitan Islam.

Beberapa pemimpin negara Arab yang dihantui oleh kebangkitan Islam (yang dianggap Barat sebagai ‘Islamic Moderates’) begitu mudah terdorong oleh hasutan dan saranan Barat, seterusnya menjadi harapan bagi mengekalkan kepentingan Barat di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Di luar lingkungan dunia Arab, maka Turki dan Pakistan merupakan negara dipupuk sebagai pembela kepentingan Barat dalam konteks kebangkitan Islam. Turki yang menganut dasar sekular tajaan Kamal Attartuk pernah bergandingan dengan Barat dalam Perang Dingin, begitu ghairah untuk menganggotai Kesatuan Eropah semacam telah dipertanggungjawabkan dengan tugas membendung kemaraan Islam, sekurang-kurangnya dalam negara.

Imej Turki sebagai pemimpin empayar Islam lepas masih segar di kalangan umat Islam, dan seandainya negara itu memilih jalan Islam, impak kehadirannya adalah besar dan meluas. Barat merasa bimbang terhadap kemungkinan itu.

Kewujudan penganut Islam di Eropah Barat yang semakin besar jumlahnya dari setahun ke setahun juga adalah dimensi kepada dunia bukan barat, yang sering dihubungkaitkan dengan ancaman agama tersebut terhadap keseluruhan tamadun Barat.

Tambahan pula, sebahagian mereka ini mempunyai pertalian dengan kebangkitan Islam di negara asal mereka, manakala sebahagian lain telah terserap dalam pergerakan membangun semula kehidupan Islam di kalangan sesama mereka.

Di Perancis terdapat lebih lima juta penganut Islam, sebahagian besarnya berasal dari utara Afrika, dan di kalangan mereka terdapat pihak yang berusaha mewujudkan cara hidup Islam di tengah-tengah kebudayaan sekular moden Perancis.

Di Jerman, terdapat lebih dua juta Muslim, yang terdiri dari kaum imigran dan pekerja dari Turki, pelarian Bosnia, dan sebagainya. Mereka ini yang berpusat di bandar-bandar seperti Berlin, Cologne, dan Munich, juga terlibat dalam kegiatan Islam yang membangkitkan rasa curiga dan marah di kalangan penduduk Jerman.

Penganut Islam yang berjumlah lebih dua juta di Britain turut menimbulkan konflik dan tentangan daripada orang British yang sememangnya tidak senang terhadap kehadiran orang keturunan India dan Pakistan dari dahulu, dan kini terpaksa pula berdepan dengan tuntutan agar cara hidup Islam mereka turut dihormati sama oleh kerajaan setempat.

Sungguhpun orang-orang Islam yang terlibat ini sudah lama bermaustatin di Eropah Barat, malah telah menjadi warganegara negara-negara berkenaan, dan bersedia mengamal aspek-aspek asas dalam kehidupan bernegara, namun, mereka masih berterusan dilihat sebagai wakil dari dunia lain – dunia bukan Barat dengan berpandangan dunia sendiri.

Pemupukan Islam dalam kalangan Muslim di Amerika Syarikat juga telah membangkitkan persoalan serupa kepada cara hidup sekular di negara itu, dan kini penyerangan terhadap masjid, institusi dan hak asasi penganut Islam sebagai kaum minoriti semakin menjadi-jadi.

Bersambung........

Thursday, 15 October 2009

Hari Kad Laporan Percubaan SPM

Pada hari ini, Jumaat bersamaan 16 Oktober 2009M (27 Syawal 1430H) adalah merupakan hari pengambilan kad laporan bagi peperiksaan percubaan SPM yang diduduki oleh semua pelajar tingkatan 5 tempohari.

Sesi taklimat dan pengambilan kad laporan akan bermula pada jam 2.30 petang, iaitu selepas berakhirnya solat jumaat. Semua ibu bapa dan para pelajar tingkatan 5 SMIAAG dijemput hadir ke sesi yang sangat penting ini.

Buat semua 'anak-anak ceria dan bersemangat waja' kelas 5 Salman al-Farisi yang dikasihi, ustaz selaku guru kelas dan merangkap 'bapa' antum ingin memohon maaf kerana tidak dapat bersama antum pada petang ini. Ustaz terpaksa balik awal ke Johor bagi menghadiri majlis walimah adik ipar pada keesokan harinya. Yang berbahagia, Ust Ayub dan Ust Abd Aziz akan menggantikan tempat ustaz.

Sebagaimana lazimnya, dalam setiap peperiksaan pasti akan terzahir pelbagai perasaan suka mahupun sedikit duka dek kerana keputusan yang bakal diperolehi atau telahpun diketahui. Ini bukanlah peperiksaan kali pertama, jauh sekali yang terakhir kerana hakikat sebenar peperiksaan SPM akan bermula pertengahan November depan.

Anggaplah setiap liku dan cabaran dalam peperiksaan yang telah dan bakal diduduki seumpama sebahagian juzu' daripada liku-liku kehidupan yang panjang perjalanannya ini. Yang telah berlalu, biarkanlah ia berlalu. Kini, tetapkanlah 'fokus' terus demi masa hadapan. InsyaAllah, dengan usaha gigih , istiqamah, berdoa dan bertawakkal serta berkat restu ibu bapa, guru..tidak mustahil kejayaan gemilang menanti kalian di depan mata.

Hanya kepada Allah S.w.t sahajalah kita kembalikan segala urusan ini dan berserah diri...

Minda Sejarah: Tip-Tip Menjelang Peperiksaan

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u yang dikasihi lagi dihormati. Tip-tip atau panduan menjelang persediaan menhadapi peperiksaan kali ini penulis tujukan buat semua para calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM yang semakin hampir tiba.

Harapan penulis agar ia mampu membantu persediaan yang telah sekian lama diusahakan oleh para calon serta dapat menghadirkan kecemerlangan sebagaimana yang dicita-citakan oleh semua. InsyaAllah.

1. Semak Jadual Lengkap Peperiksaan SPM 2009

Semakan ini penting bagi merancang jadual belajar pecutan akhir. Ulangkaji hendaklah dirancang mengikut kertas peperiksaan yang yang akan diduduki terlebih dulu. Rancang dan bincang dengan guru dan ibu bapa supaya jadual terbaik dapat dihasilkan dengan mengambil kira keperluan semua mata pelajaran

2. Teruskan Latihan Sambil Mengulangkaji Secara Konsisten

Teruskan latihan soalan model peperiksaan bagi setiap mata pelajaran. Cubalah menjawab soalan-soalan percubaan peringkat negeri selain soalan peperiksaan sebenar. Semak jawapan dan kukuhkan penguasaan anda dengan membuat semakan dari buku teks atau buku ulangkaji di bahagian soalan yang gagal dijawab. Tindakan ini akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping memanjangkan hayat ingatan anda.

3. Ulangkaji Semua

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. Jangan sekali-kali belajar subjek atau sub-tajuk yang anda sukai, sebaliknya perlu merangkumi semua topik. Semua subjek adalah keutamaan anda.

4. Mengingat dan Membuat Perkaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda gunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali, membuat akronim, mancipta skrip atau melodi lagu, melakar, mengingat kata kunci dan membuat perkaitan menerusi modul 'pemetaan minda'.

5. Merancang Persiapan Peperiksaan

a. Beberapa minggu sebelum peperiksaan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan di sekolah, rumah, di mana saja manfaatkan masa membaca nota ringkas tapi padat.

b. Jaga kesihatan diri dan tidur yang mencukupi supaya sentiasa sihat, segar dan fokus ketika mengulangkaji dan menduduki peperiksaan.

c. Lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minati seperti perlawanan bola sepak misalnya :).. Jangan lepaskan peluang keemasan ini . Pastikan SPM hanya diambil sekali seumur hidup anda. Tiada ulangan kertas. Na'uzubillah

d. Dapatkan restu ibubapa dan guru serta mohonlah keampunan mereka.

e. Datang lebih awal dan pastikan anda bersarapan. Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan seperti pensel, pen, kalkulator, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini membantu anda fokus sepanjang masa peperiksaan.

f. Tenang dan percayakan diri sendiri. Ingatkan diri anda bahawa anda sudah bersedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik dan tenang.

g. Prebiu soalan-soalan terlebih dahulu. Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan-soalan secara mendalam, tandakan kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan.

h. Menjawab soalan yang mudah dahulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang akan digunakan sebagai jawapan.

i. Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Analisa jawapan dan memberi rasional betul atau salah kepada setiap pilihan jawapan . Potong jawapan yang anda tahu salah dan pilih jawapan anda

j. Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis.
Buat rangka karangan secara ringkas untuk esei dengan mencatat dahulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun idea-idea tersebut mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.


k. Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksan jawapan .
Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca atau tanda titik perpuluhan.


l. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Fokus pada kertas berikutnya.

6. Banyakkan Berdoa dan Bertawakkal. InsyaAllah anda akan cemerlang

Nota: Jika perlu berlajar lah dalam kumpulan kecil. Yang penting tanamkan azam dan semangat untuk fokus kepada kejayaan cemerlang. Anda memang boleh berjaya …..

Saturday, 10 October 2009

Deepavali: Pesta Cahaya

Masyarakat Hindu menyalakan pelita sebagai tanda simbolik yang menyatakan kebaikan akan mengatasi kejahatan.

Pada 17 Oktober ini, masyarakat India yang beragama Hindu dan Sikh di negara kita bakal merayakan perayaan hari Deepavali.

DEEPAVALI atau lebih dikenali juga sebagai ‘pesta cahaya’. Masyarakat Hindu menggunakan cahaya sebagai makna simbolik untuk menyatakan kebaikan akan mengatasi kejahatan.

Dalam kepercayaan agama Hindu, ada dinyatakan bahawa Athma (roh) mengatasi jasad dan minda. Ia adalah sesuatu yang suci, tidak terbatas dan akan kekal abdi.

Sambutan perayaan Deepavali adalah sama seperti kita menyambut hari lahir. Ia adalah sambutan untuk menyambut kelahiran ‘cahaya dalaman’ yang memupuk kesedaran dari dalam. (Yang kita sebenarnya hidup dalam alam maya).

Dengan itu, segala kejahatan di dunia ini akan terhapus dan kesedaran yang tuhan sebenarnya berada di mana-mana dan keunggulannya sahaja yang berkekalan buat selama-lamanya akan disedari.

Lampu menjadi ilmu pengetahuan yang menerangi hidup dan menghindari manusia daripada berbuat jahat.

Ada dua kisah yang menceritakan kelahiran sambutan Deepavali iaitu:

PEMBUNUHAN NARAGASURA

Perayaan Deepavali disambut pada hari yang dimana salah seorang dewa Hindu, Krishna membunuh makluk jahat Naragasura sehari sebelum perayaan Deepavali. Untuk meraikan kejayaan kebaikan mengatasi kuasa kejahatan perayaan Deepavali diraikan.

KISAH RAMA BALIK KE AYODHYA

Sesetengah orang Hindu percaya perayaan Deepavali bermula apabila Dewa Rama pulang ke Ayodhya selepas dibuang negeri selama 14 tahun.Rama pulang ke negaranya dengan isterinya Sita dan Lakshamana selepas membunuh Ravana, seorang yang jahat.

Sepanjang perjalanan, apabila Rama serta keluarganya balik ke Ayodhya, menuju ke arah utara India dari selatan, orang yang tinggal disitu menyalakan pelita minyak sapi yang menandakan kebaikan telah mengatasi kejahatan berikutan kematian Ravana.

Mereka menyalakan lampu pelita di sepanjang perjalanan Rama kembali ke tanah jajahannya.

SAMBUTAN DEEPAVALI OLEH KAUM SIKH

Masyarakat Sikh menyambut hari Deepavali atau dikenali sebagai Diwali di kalangan mereka di atas sebab yang berbeza.

Guru Nanak, yang juga merupakan pengasas agama Sikh pada suatu masa dahulu telah dipenjarakan oleh seorang Raja.Raja itu memaksanya makan tetapi beliau enggan dan berpuasa.

Sejurus itu , barulah Guru Nanak sedar yang ramai orang telah berkumpul di luar penjara dengan memegang lampu sebagai tanda protes untuk membebaskan Guru Nanak.

Akhirnya, Raja itu sedar akan kesilapannya.Oleh kerana sikap tamaknya, dia telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang raja dan sebagai balasannya, dia membebaskan Guru Nanak.Kaum Sikh menyambut pembebasan Guru Nanak sebagai hari Deepavali.

PERSIAPAN UNTUK HARI DEEPAVALI

Masyarakat India membuat persiapan yang lebih awal seperti membuat kuih-muih, membersihkan rumah dan membeli pakai baru untuk dipakai pada hari tersebut.Muruku, Neiurundai dan Atherasam merupakan kuih-muih tradisional orang India.Tetapi pada masa kini, mereka juga membuat biskut dan kek selain makanan tradisional mereka.

Ronggoli Kolam adalah lukisan di atas lantai yang diperbuat daripada beras berwarna. Selain mencantikkan kawasan hadapan rumah, maksud tersirat di sebalik tradisi ini adalah untuk memberi makan kepada serangga-serangga kecil seperti semut.Ini secara tidak langsung menambah pahala si tuan rumah yang membuat Kolam tersebut.

Lampu-lampu pelita dinyalakan pada malam Deepavali.

PAGI DEEPAVALI

Pada pagi Deepavali, masyarakat India akan menggunakan minyak bijian sebelum mandi sebagai tanda simbolik untuk menyucikan diri.Selepas itu, mereka sekeluarga akan berpakaian serba baru dan sembayang. Sejurus itu, anak-anak muda digalakkan sujud di kaki ibu bapa atau orang tua dalam rumah mereka untuk meminta restu.

Pada hari Deepavali, mengikut ajaran agama Hindu, masakan yang dimasak mestilah “vegetarian” hanya makanan yang berasaskan sayur-sayuran (daging tidak digalakkan).Tujuannya adalah untuk mengawal nafsu makan mereka pada hari yang bermakna ini.

SEHARI SEBELUM DEEPAVALI

Sehari sebelum perayaan Deepavali, orang yang beragama Hindu akan membuat upacara sembayang untuk memanjangkan doa untuk yang telah 'pergi' buat selama-lamanya.

Makanan kegemaran yang telah meninggal dunia selalunya disediakan untuk santapan mereka.Makanan tersebut akan dibiarkan seketika dihadapan gambar si mati yang kemudiannya akan di makan oleh anak-anak si mati atau diberi kepada haiwan.

Obama Pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2009?

OSLO: Presiden Barack Obama diumumkan pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2009 semalam sebagai penghargaan ke atas usaha luar biasa beliau dalam memperkukuhkan diplomasi antarabangsa dan memupuk kerjasama antara negara.

Jawatankuasa Hadiah Nobel Norway berkata usaha presiden Amerika Syarikat (AS) itu untuk memulihkan hubungan dengan dunia Islam dan membendung penularan senjata nuklear adalah antara faktor memihak kepada pemilihannya.

Pemilihan mengejutkan itu menjadikan Obama presiden AS keempat memenangi hadiah berprestij itu selepas Presiden Jimmy Carter (2002), Woodrow Wilson (1919) dan Theodore Roosevelt (1906). Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah pencalonan untuk hadiah Nobel itu ditutup pada 1 Februari sedangkan Obama mula memegang jawatan presiden pada 20 Januari, membayangkan sumbangannya untuk 11 hari berkenaan melayakkan beliau merangkul hadiah itu.

Presiden kulit hitam pertama AS itu memang dikaitkan dengan spekulasi untuk memenangi hadiah berkenaan tetapi ramai pemerhati berkata ia adalah terlalu awal untuk beliau mendapat penghargaan itu.

Bagaimanapun jawatankuasa Nobel berkata: Jarang sekali seseorang tokoh dapat menarik perhatian dunia seperti Obama yang memberi harapan masa depan yang lebih cerah.

Usaha diplomasi beliau diasaskan kepada konsep sesiapa yang mahu memimpin dunia harus mempunyai nilai dan sikap yang secocok dengan majoriti penduduk dunia, kata jawatankuasa itu.

Sebanyak 205 pencalonan diterima untuk dipertimbangkan bagi hadiah tahun ini.- AP

Sumber: Berita Harian Online

Wednesday, 7 October 2009

Islam Itu Indah

"Begitu saya menyedari walaupun pelbagai nikmat dunia ini saya kuasai dan rasai namun kedamaian dalam hati ini langsung tidak ada.

"Hati saya tidak pernah senang dan tenang. Sentiasa ada sahaja yang tidak kena, resah gelisah tidak menentu dan masih tercari-cari makna hidup yang sebenar dan apakah arah matlamat hidup ini sebenarnya,"

"Hidup semewah mana pun tetapi jika tidak berpandu dan berasaskan kepada agama dan ajaran tuhan, semua itu tidak memberikan makna.

"Namun saya secara peribadi, mempercayai kewujudan dan menyerahkan diri kepada Allah yang telah memberikan kepada saya seribu satu ketenangan kerana Dia memberikan saya inspirasi, hidup seseorang manusia itu adalah kerana dan untuk-Nya yang bakal memberikan kehidupan yang lebih abadi dan sempurna di akhirat kelak,"

"Jika agama itu (Kristian) mempercayai Nabi Isa itu sebagai anak Tuhan, bererti Tuhan itu berkahwin bagi membolehkan 'isteri Tuhan' melahirkan anak, iaitu Nabi Isa.

"Tetapi mengapa di kalangan paderi-paderi itu sendiri menolak institusi perkahwinan dengan mengharamkan diri mereka untuk berkahwin. Jadi apa hinanya institusi itu sedangkan tuhan itu sendiri berkahwin?,"

"Ajaranya cukup cantik, begitu mencintai kedamaian dan kehidupan yang adil dan sama rata untuk dinikmati oleh setiap golongan di muka bumi.

"Warna kulit bukan tiket untuk berlakunya pemisahan dan diskriminasi terhadap bangsa serta ia sama sekali tidak sebagaimana yang sering diperkatakan terutama mengaitkan agama itu (Islam) dengan peperangan, keganasan dan pembunuhan.

"Saya tahu keputusan ini seperti membunuh diri saya sendiri kerana muzik rap itu sudah menjadi sebahagian besar dalam hidup saya selama ini.

"Saya tidak mampu melakukan perkara lain selain menghiburkan peminat menerusi lagu dan tarian rap ini.

"Tetapi sejak melakukan ibadat umrah di Mekah baru-baru ini, tanpa ragu lagi saya mengambil keputusan mendalami Islam bagi membolehkan saya beralih tugas yang lebih murni iaitu pendakwah,"

Tugas pendakwah yang tidak mustahil dengan menjadikan muzik irama rap sebagai strategi dan metod terhadap kumpulan sasaran beliau kelak.

## Rapper Loon (nama Islamnya ialah Amir Junaid Muhadith), merupakan anggota kumpulan muzik terkenal Bad Boy. Beliau juga adalah anak didik rapper terkenal dunia, Puff Daddy dan bernaung di bawah syarikat rakaman P. Diddy Bad Boy Records. ##

Sila klik di sini untuk membaca lebih lanjut...

Haneyya: Kerana Al-Aqsa Umat Islam Sedunia Sanggup Berkorban.

Khamis, 08/10/2009 – Kerajaan Palestin yang dipimpin oleh Ismail Haneyya memberi amaran terhadap konspirasi Zionis terhadap bandar al-Quds yang dijajah. Perancangan jahat mereka berlangsung bagi menjejaskan Masjid al-Aqsa sehingga kawasannya dapat dibahagikan sebagaimana yang telah berlaku kepada halaman Masjid al-Ibrahimi sebelum ini.

Kerajaan Palestin itu juga menegaskan bahawa perancangan jahat itu tidak akan dapat dilaksanakan melainkan setelah kami terkorban. Masjid al-Aqsa adalah garisan penentu, kerananya seluruh umat Islam sanggup berkorban.

Kerajaan Palestin itu menambah semasa mesyuarat mingguan kabinetnya pada hari Isnin (10/6), bahawa segala kenyataan yang berbentuk kutukan dan herdikan sudah tidak lagi berguna berhadapan dengan tindakan-tindakan biadap Zionis.

Seluruh bandar al-Quds sedang berhadapan dengan bahaya. Tindakan yang berkesan perlu diambil segera bagi memberhentikan permusuhan dan pencerobohan. Antaranya ialah bahawa para pemimpim Arab dan Islam segera menyahut seruan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi yang menuntut agar hari Jumaat akan datang dijadikan sebagai ‘hari kemarahan’ demi bandar al-Quds serta mengambil tanggungjawab bagi membebaskannya.

Seterusnya ia berkata: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Ramallah yang menghalang demonstrasi yang mengutuk apa yang berlaku di bandar al-Quds. Kami menganggap tindakan itu sebagai bersekongkol dengan pihak Zionis bagi menyembelih bandar al-Quds serta merupakan pencerobohan yang mengaibkan terhadap rakyat Palestin yang mahu menyampai dan menunjukkan perasaan mereka dengan bebas dalam isu nasional yang tidak dicemari oleh perselihan dalaman.”

Sumber : http://www.palestine-info.info/ar/

Monday, 5 October 2009

Bengkel Kecemerlangan Sejarah SPM 2009

Salam Sejarah buat semua pengunjung Sejarah2u, khususnya para calon SPM 2009 yang dikasihi.

Panitia Sejarah SMIAAG akan menganjurkan satu bengkel kecemerlangan untuk para pelajar yang bakal menduduki SPM 2009.

Bengkel kecemerlangan ini akan berlangsung selama 2 hari mulai Jumaat-Sabtu (9/10-10/10) dan bertempat di Dewan Seminar SMIAAG.

Maklumat lanjut berkenaan bengkel dan cara untuk menyertainya, sila klik di sini.

"Sesungguhnya Allah Swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka (kaum itu) mengubah nasib dirinya sendiri"...Al-Ayat

Sunday, 4 October 2009

Maahad Il-Ihya Assyariff Gunung Semanggol

Maahad Il-Ihya Assyarif Gunung Semanggol diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Bermula dari sinilah dengan kerjasama pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) terutamanya Dr Burhanuddin al-Helmy.

Dengan penglibatan ulama dan pejuang Melayu lain, telah lahir beberapa institusi atau pertubuhan yang bertujuan menggerak dan menyedarkan serta memajukan orang Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan.

Semasa penjajahan British, Maahad ll-Ihya Assyarif dianggap mengancam kepentingan dan ketuanan mereka hingga digelar sebagai ‘Bahaya dari Gunung’.

PKMM telah menjadikan Maahad ini sebagai tempat untuk mengkaderkan ahli-ahli mereka yang lebih dikenali dalam sejarah sebagai Tentera Semut’.

Antara pertubuhan yang berjaya dibentuk hasil inspirasi daripada institusi Maahad Il-Ihya Assyariff ini termasuklah:

1. Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMA)

Pertubuhan ini beroperasi bagi membantu dan memajukan ekonomi orang Melayu termasuk perjalanan Bank Kebangsaan Melayu dan idea penubuhan Bank Pertanian Malaysia bagi mengatasi masalah modal dan kemahiran.

2. Majlis Tertinggi Agama Se-Malaya (MATA)

Pertubuhan ini muncul sebagai badan agama yang menyaingi pihak kerajaan yang berkaitan dengan pentadbiran Islam. Ia cuba merealisasikan cita-cita aliran pergerakan reformis di Tanah Melayu meliputi bidang pendidikan, penterjemahan, penerbitan bahan rujukan, perundangan Islam dan lain-lain.

3. Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR)

Badan ini berfungsi mengawal serta menjamin mutu pengajian di sekolah-sekolah.

Sumber:
1) Mohamad Bakar, 1984. "Islam dan Aspirasi Kebangsaan dalam Masyarakat Melayu Kini". Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
2) www.ibnuhasyim.com/bahaya dari gunung

Burj Dubai: Bangunan Tertinggi di Dunia

DUBAI, 3 Okt (Bernama) -- Bangunan tertinggi di dunia, Burj Dubai, mengikut jadual untuk siap akhir tahun ini, demikian menurut pemajunya, Emaar Properties.

Ketinggian akhir menara kegunaan bercampur yang mengandungi kediaman, suite korporat serta Armani Hotel and Armani Residences yang pertama di dunia, akan diumumkan apabila Burj Dubai dibuka akhir tahun ini.

Emaar mengumumkan beberapa angka dan fakta yang mengagumkan mengenai pembinaan menara itu, yang kini pada ketinggian lebih 800 meter di pusat projek mega Downtown Burj Dubai.

Keseluruhan berat aluminium yang digunakan bagi lapisan pelindung bahagian luar struktur tinggi itu bersamaan dengan lima pesawat A380, dan jumlah panjang besi keluli ialah 293 kali ketinggian Menara Eiffel di Paris.

Sejumlah 103,000 meter persegi kaca digunakan dalam panel pelindung yang boleh meliputi 14 padang bola sepak dan 15,500 meter persegi besi keluli dengan ukiran yang digunakan boleh meliputi 34 gelanggang bola keranjang yang diperakui Persatuan Bola Keranjang Nasional.

Jumlah panjang gasket pula ialah 2,050,000 meter linear, yang jika diukur hujung ke hujung ialah kira-kira jarak antara Dubai ke ibu negara Syria, Damascus yang berada pada 2,052 kilometer.

Lapisan pelindungan luar Burj Dubai siap baru-baru ini, dengan rekod dunia pemasangan tertinggi permukaan aluminium dan kaca, kata Emaar.

Panel lapisan pelindung yang ke-24,348 itu, seberat 750 kilogram dipasang pada ketinggian lebih 662 meter.

Sumber: BERNAMA

Mother Teresa - Biarawati yang disanjungi Dunia

MOTHER TERESA merupakan seorang biarawati yang telah mendedikasikan hidupnya untuk menolong rakyat miskin di dunia. Gelaran ‘mother’ yang bermaksud ibu diberikan kepadanya untuk menghargai sumbangan insaniahnya kepada yang memerlukan.

Walaupun insan terkenal ini tidak pernah melahirkan anak, beliau telah mejadi ibu angkat kepada jutaan orang miskin melalui usahanya menerusi pertubuhan Missionaries of Charity yang diasaskannya di Calcutta, India pada tahun 1950.

Sepanjang hayatnya, dia mengetuai pertubuhan tersebut selama 45 tahun dan telah menolong ramai fakir miskin, anak-anak yatim, dan mereka yang sudah tidak ada harapan untuk hidup.

Terdapat lebih daripada 610 pusat servis di 123 buah negara termasuk pusat hospis untuk pesakit HIV/AIDS dan pelbagai jenis lagi pusat yang menawarkan bantuan untuk masyarakat miskin, yang bernaung di bawah Missionaries of Charity.

Biarawati dihormati ini telah memenangi hadiah ‘Nobel Peace’ pada tahun 1979 dan telah menggondol anugerah tertinggi di India iaitu Bharat Ratna pada tahun 1980.

Selain itu, Mother Teresa juga pernah menerima banyak anugerah antarabangsa seperti Pope John XXIII Peace Price (1971), Nehru Price (1972) dan Balzan Prize (1979). Dia juga pernah menangi anugerah Templeton dan juga Magasaysay.

Sukarelawan yang disegani dunia ini dilahirkan pada 26 Ogos 1910 di Macedonia dan diberi nama Agnesë Gonxhe Bojaxhiu.Ayahnya meninggal dunia ketika usianya mececah lapan tahun dan dia dibesarkan oleh ibunya sebagai seorang Kristian (Roman Katolik).

Semasa kecil, Agnes sangat meminati cerita pendakwahan orang Kristian dan jasa yang disumbangkan oleh mereka untuk membantu orang miskin.

Ketika berumur 12 tahun, dia telah bertekad untuk menjadi seorang biarawati dan menyertai ‘Sisters of Loreto’semasa berumur 18 tahun. Setelah menjadi biarawati, beliau menukar namanya kepada Teresa. Mother Teresa kemudiannya pergi ke Rathfarnham, Ireland untuk mempelajari Bahasa Inggeris.

Pada tahun 1929, kariernya sebagai guru bahasa Inggeris bermula. Destinasi pertama beliau sebagai guru ialah sebuah perkampungan bernama Darjeeling, yang terletak di kaki gunung Himalaya, di India. Setelah melihat kesengsaraan hidup penduduk di sana, hatinya telah terbuka untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ini.

Pada tahun 1948, beliau mula mengembara merentasi Darjeeling untuk membantu golongan miskin di India.

Usaha murni yang bermula di Calcutta, India dengan bantuan 13 orang sukarelawan kini telah berkembang kepada lebih daripada 4,000 orang biarawati dan sukarelawan yang menjaga banyak rumah anak-anak yatim, hospis pesakit AIDS, dan pusat-pusat kebajikan di seluruh dunia.

Yang menariknya, orang yang dirawat di hospisnya dibenarkan ‘pergi’ mengikut agama masing-masing walaupun ianya didirikan oleh penganut agama Kristian.

Dia yang suatu masa dahulu, terpaksa meminta sedekah untuk membantu fakir miskin kini telah dikurniakan dengan sumbangan yang melimpah-ruah dari orang ramai untuk memenuhi impiannya iaitu untuk menolong orang miskin.

Mother Teresa meninggal dunia pada 5 September, 1997 kerana komplikasi jantung dan sakit tua ketika beliau berumur 87 tahun.

Sumber: Manusia & Peristiwa, mStar Online

Friday, 2 October 2009

Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2009

Salam Sejarah buat semua bakal calon yang akan menduduki Peperiksaan SPM bagi sesi 2009 yang tidak berapa lama lagi.

Jadual waktu peperiksaan akan terbahagi kepada dua, iaitu bagi Peperiksaan Amali ia akan bermula pada 20, 21 dan 22 Oktober ini. Sementara bagi Peperiksaan Bertulis pula akan bermula pada 18 November 2009 hingga 18 Disember 2009.

Untuk capaian jadual waktu peperiksaan yang lebih lengkap, sila klik di sini.

Thursday, 1 October 2009

Sekadar Renungan

Dr. A.H.Johns dalam bukunya 'Malay Sufism' menggambarkan kemeriahan dan kegemilangan negeri Melaka:

"Dengan berkembangnya negeri Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan Islam, dunia Melayu telah dibawa ke dalam arus perniagaan yang merentasi Asia Selatan, dari Mesir, dunia Arab, Teluk Parsi, Hindia Timur, Hindia Barat, dan Gugusan Kepulauan Timur dan China. Tambahan pula, Melaka di era kemuncaknya amat penting di dalam sistem perdagangan yang luas sekaligus merupakan kota antarabangsa. Ianya juga merupakan sebuah Kuasa Politik Utama Serantau dan pusat keagamaan bagi masyarakat Islam yang sedang berkembang ketika itu yang menjadi tumpuan utama bagi tujuan pengajian dan pendidikan bagi kaum muslim."

Hubungan erat yang terjalin di antara ulama dan umara ketika itu menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat ilmu. Ini dijelaskan oleh sarjana sejarah Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya 'Ulama Terengganu - Suatu Sorotan'.

"Semenjak zaman Melaka, dan di sepanjang sejarah Islam di Tanah Melayu, ulama pula sering mendekati istana atau pusat kuasa, dan di sana atau dari sana, mereka bergerak memainkan peranan mereka. Di istana Sultan Melaka, ulama seperti Maulana Abu Bakar, Saiyid Abdul Aziz dan Maulana Yusuf, bukan sahaja muncul sebagai guru tetapi juga penasihat kepada pemerintah, satu kedudukan strategis yang membolehkan mereka berfungsi dengan lebih berkesan dalam skima pengislaman negara dan masyarakat...

...Masyarakat yang dipayungi oleh kekuasaan sultan atau raja, dan insaf tentang keperluan mentaati dan mematuhi ulil amri, tidak berada dalam keadaan berkonflik dengan ulama yang bergerak dan berdamping dengan pemerintah. Hubungan simbiotis antara ulama dan umara jelas sekali mendapat restu dan sokongan rakyat. Kesemua pihak bergerak dan berinteraksi dalam satu sistem yang padu. Walaupun masing-masing hidup berasingan dari segi fizikal, dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan pula. Ketika perang dan damai, kesemuanya bertindak sebagai satu kesatuan."

Dipetik daripada buku 'Menyingkap Misteri Pulau Besar' oleh Ana Faqir.