Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017]



Wednesday, 26 August 2009

Berjayakah Produk Pro-Zionis diBoikot?

SEWAJARNYA kerana Palestin kita sanggup melakukan apa sahaja, hatta mengangkat senjata bagi beradu kekuatan jihad dengan pihak Zionis kerana telah terang-terangan memerangi Islam. Tidak ada rasionalnya di sebalik perbuatan hampir 60 tahun mereka mencabuli kedaulatan dan hak-hak kemanusiaan penduduk Islam, khususnya di Gaza, Palestin.

Justeru itu, sebagai pengguna, kempen memboikot produk dan perkhidmatan daripada sekutu rapat Zionis terutamanya Amerika Syarikat (AS) sewajarnya dapat dijayakan tanpa sebarang masalah, kerana ia lebih mudah, tiada risiko dan tidak menjadi satu kesalahan.

Mengapa untuk tindakan seperti ini hendak diragukan? Telah terbukti boikot seperti ini tidak mustahil kerana telah ada pihak yang terkesan dengan tindakan seperti ini sebelum ini.

Jenama makanan segera yang terkenal dengan kepelbagaian jenis burger, syarikat XXX terpaksa menutup operasi mereka di kebanyakan negara di Asia Tengah pada tahun 2002 kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot.

Di Jordan sahaja, dua daripada enam francais makanan segera ini terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di salah sebuah negara di Asia Barat, syarikat XXX itu terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan pelanggan.

Namun usaha ini tidak berjaya dilakukan dan ini menyebabkan pihak berkuasa negara itu terpaksa diarahkan mengawal rangkaian restoran XXX akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan.

Tetapi apa salahnya Syarikat XXX ini? Pemimpin utama syarikat itu, tidak sahaja lahir sebagai Yahudi, tetapi beliau juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry yang menjadikan syarikat yang diterajuinya itu "rakan korporat utama" kepada Jewish United Fund (JUF).

JUF pula telah menggelarkan diri mereka sebagai bekerja untuk ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel serta memerhati dan sekiranya perlu, memberi respons kepada laporan media.

Sekiranya syarikat gergasi seperti XXX boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan kehilangan punca ekonomi.

Sebagai contoh, minuman kola terkenal yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60 peratus akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, Zam Zam Cola. Apa yang tidak disangka berlaku, syarikat ini tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran minuman itu.

Mereka berjaya menjual sebanyak 4 juta tin minuman dalam minggu pertama, sesuatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? Zam Zam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara-negara Teluk, sekali gus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark. mula mengimport Zam Zam Cola.

Dalam kes memboikot ini juga, Amazon.com pula, iaitu perniagaan menjual buku dan produk berkaitan melalui Internet, telah menghentikan kerjasama dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002. Ini apabila Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang daripada tugasan mereka di daerah Palestin.

Ketika itu iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi "Buy Amazon.com & Support Israel " dipaparkan dalam hampir setiap muka surat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.

Beberapa syarikat di AS yang tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, turut membuat keputusan untuk memboikot Israel .

Pada bulan Mei 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di AS yang mengeksport peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan mereka dengan Israel .

Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan AS dan Israel, sehinggakan AS mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan AS telah mengenakan lebih daripada AS$26 juta denda serta tidak lagi mengeluarkan lesen eksport kepada syarikat yang terlibat.

Pensyarah Kanan di Bidang Kemanusiaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Dr. Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, tidak dinafikan boikot merupakan salah satu kaedah untuk mengajar pihak Zionis itu, cuma umat Islam harus bersatu dan senada dalam memboikot barangan mereka secara berterusan bukan secara bermusim.

"Ini kerana usaha yang telah dilakukan sejak dulu lagi, ibarat melepaskan batuk di tangga sahaja. Yang menariknya bila ramai orang hendak memboikot, masyarakat pun beria-ia hendak memboikot juga, tapi malangnya produk rokok pelbagai jenama dari AS seperti tercicir ataupun sengaja dicicirkan daripada senarai pemboikotan tersebut," katanya.

Menurut Dr. Zaharuddin lagi, pengharaman berurusniaga atau memboikot melalui fatwa adalah satu cara bagi memastikan usaha ini dapat dijayakan sebagaimana Iran mengeluarkan fatwa diketuai Ayatollah Ali Khamenei yang mengharamkan terus segala urusan perniagaan yang berkaitan dengan Israel.

"Kalau sebelum ini Majlis Fatwa Kebangsaan menimbulkan isu pengharaman Yoga, kenapa tidak untuk pengharaman barangan dari negara Zionis yang secara terang dan nyata melakukan kekejaman yang bertentangan dengan ajaran semua agama," katanya.

Usaha memboikot barangan Israel dan sekutunya kata Dr. Zaharuddin boleh dianggap sebagai satu jihad di jalan Allah.

"Usaha memboikot barangan mereka ini adalah lebih baik berbanding daripada sumpah seranah serta memaki hamun mereka," katanya.

Dr. Zaharuddin turut menyenaraikan beberapa kekangan atau kelemahan utama dalam kempen pemboikotan produk Israel dan sekutunya, iaitu;

1.Kekurangan hasil tempatan yang produktif, berkualiti dan berdaya saing di peringkat tempatan mahupun global.

2.Persepsi pengguna terhadap barangan keluaran tempatan terutamanya barangan bumiputera yang agak dingin.

3. Sistem pemasaran dan pengiklanan yang tidak cekap terutama daripada pengusaha bumiputera.

Namun beliau lebih menggesa individu serta pertubuhan yang ingin memboikot produk pro-Zionis dan sekutunya supaya menoleh seketika sejarah, terutamanya apa yang pernah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

"Bahkan ketika Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Baginda tidak pernah melakukan pemboikotan ekonomi kepada Yahudi yang menguasai pasar di Madinah tetapi Baginda memecahkan monopoli Yahudi dengan mengajak para sahabatnya ikut serta dalam perniagaan sehinggakan ekonomi Madinah dikuasai sepenuhnya oleh kaum Muslimin," katanya.

Zaharuddin meminta supaya produk tempatan harus dipertingkatkan kualiti serta berdaya saing, bukan sahaja dari segi mutu, malah dari segi harga.

"Maka inilah kaedah terbaik dalam melaksanakan embargo serta menghancurkan ekonomi Zionis, bukan sekadar mengangkat sepanduk menyeru pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutunya.

"Konsep muamalah itu sebenarnya wujud tanpa paksaan. Cuma kita harus bertukar kempen, dari kempen memboikot ke kempen membeli… Belilah Barangan Buatan Muslim!" katanya.

Penulis sendiri sebagai pengguna ‘aktif’, sehingga kini tetap istiqamah menjadikan boikot terhadap produk berjenama pro-Zionis dan sekutunya itu menjadi sebahagian gaya hidup! Bak kata pepatah yang berbunyi, "Alah bisa tegal biasa".

Salam Ramadhan al-Mubarak :)

1 comment:

muslimin said...

Assalamualaikum ustaz,
Walaupun usaha memboikot produk2 Pro-Zionis nampak berjaya, namun masih lagi saudara2 Islam kita yang kurang peka terhadap usaha baik ini. Lihat sahaja di Facebook. Berapa ramai umat Islam dan teman2 rapat kita yang masih menggunakan Facebook tanpa sedikit pun rasa bersalah. Walaupun article ustaz mengenai pengasas Facebook tersebar luas melalui emel, ia masih tidak memberi sebarang kesan kepada mereka. Emel yang dibaca seolah2 tidak menimbulkan sebarang reaksi; hanya sekadar bahan bacaan, tidak lebih dari itu. Padahal mereka2 inilah yang selalu melaungkan kata slogan "Anti Zionis, Anti Israel, Boikot barangan Yahudi". Malang sungguh. Cakap tak serupa buat, buat tak serupa cakap. Semoga usaha ustaz dalam memboikot produk2 Pro Zionis ini berterusan tanpa hentinya.