Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Sunday 29 July 2012

Faktor-Faktor Pembentukan Dasar Luar Malaysia

Pembentukan dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menentukan corak dan arah dasar luar negara. Faktor-faktor berkenaan ialah sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.

FAKTOR SEJARAH

Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan luar ini lebih berbentuk hubungan perdagangan. Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu termasuklah negara-negara yang ada pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatic dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zealand. Pada masa itu, Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman komunis ini menggugat keselamatan negara Malaysia dan dengan ini mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis. Pada masa yang sama, Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan.

FAKTOR EKONOMI

Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan dengan ini menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain di dunia dalam usaha memajukan ekonominya. Sejak zaman penjajahan British lagi, Malaysia merupakan antara negara pengeluar utama bijih timah dan getah. Pada masa ini telah terjalin hubungan ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia masih mengharapkan pasaran dan juga modal dari negara-negara tersebut. Beberapa langkah telah diambil bagi menggalakkan pelaburan asing. Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan. Menjelang tahun 1980-an, melalui Dasar Pandang ke Timur, pelaburan asing juga digalakkan dari negara-negara di Timur terutama Jepun dan Korea. Pada masa yang sama, Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negara yang sedang membangun dan juga negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara berkenaan.

FAKTOR POLITIK

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan system pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa hadapannnya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat. Ini jelas terpapar dalam dasar luar Malaysia yang menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya, dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat. Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara keamanan dunia. Oleh itu, Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

FAKTOR GEOGRAFI

Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik di Asia Tenggara dan bersempadan dengan hampir kebanyakan negar di rantau ini seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei. Perairannya juga menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan di dunia. Dengan itu, keselamatan negara serantau akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan terhadap keselamatan Malaysia.

FAKTOR DEMOGRAFI

Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majority beragama Islam. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan yang menceroboh dan menindas peribumi Palestin.
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia meneybabkan Malaysia menentang keras Dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang dasar apartheid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia.

No comments: