Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Tuesday 24 July 2012

Imperialisme Barat di Asia Tenggara

Imperialisme bermaksud penguasaan dan penaklukan oleh sesebuah negara atau kuasa yang kuat ke atas sesebuah negara lain yang lemah dan meletakkan pemerintahan dan masyarakat tersebut secara paksa di bawah pemerintahan asing. Takrifan ini menunjukkan bahawa dalam kegiatan imperialisme terdapat unsur penonjolan sifat keunggulan oleh satu-satu bangsa terhadap bangsa-bangsa lain; (Wan Abdul Rahman Latif et al.:1996:285).

Imperialisme kuasa-kuasa Barat mengamalkan dasar mengeksploitasi negara-negara yang lemah. Kegiatan ini lebih giat dilaksanakan selepas berlakunya revolusi perindustrian. Akibat revolusi ini, ekonomi negara yang dijajah tidak dirombak atau disusun semula bagi memenuhi kehendak ekonomi negara penjajah. Kuasa-kuasa Barat hanya mementingkan hasil bumi yang terdapat di negara itu seperti emas, perak, teh, rempah dan lain-lain. Keadaannya berbeza pula selepas berlangsungnya revolusi perindustrian. Kuasa-kuasa Barat lebih berminat untuk mengubah struktur ekonomi dan pentadbiran negara yang dijajah. Struktur ekonomi dirombak bagi membolehkan mereka mendapat bahan-bahan mentah secara berterusan dalam kuantiti yang banyak untuk keperluan perindustrian mereka.

Corak imperialisme merupakan corak paksaan ke atas masyarakat Asia Tenggara dengan menggunakan tipu muslihat perdagangan dengan memberikan lingkungan pengaruh sehingga pemerintah tempatan tidak dapat menahan desakan dan tekanan kuasa Barat sehingga akhirnya terpaksa menerima kehadiran kuasa tersebut dan dipaksa menerima perlindungan daripada negara-negara Barat. Tekanan dan desakan kuasa Barat untuk melaksanakan dasar Imperialisme sejajar dengan hasrat mereka sebagai sebuah kuasa yang kuat bagi memberi perlindungan dan keselamatan kepada kuasa yang lemah. Kerakusan dan ketamakan kuasa Barat dalam melaksanakan dasar imperialisme di Asia Tenggara dapat dilihat dengan penguasaan mereka ke atas negara seperti:

a) British - Tanah Melayu, Sarawak, Burma, Borneo (U)
b) Sepanyol - Filipina
c) Belanda - Indonesia
d) Perancis - Vietnam, Kemboja dan Laos
e) Amerika Syarikat - Filipina
Kuasa-kuasa barat berlumba-lumba untuk menonjolkan imej mereka sebagai kuasa besar dan ini menyebabkan mereka cuba menguasai sebanyak mungkin tanah jajahan; (Mahdi Shuid dan Mohamad Fauzi Yunus.:2001:160).

Penjajahan oleh lima kuasa besar Eropah ke atas negara Asia Tenggara pada abad ke-19 memperlihatkan kepentingan negara tersebut pada pandangan kuasa-kuasa Eropah. Kedatangan kuasa Barat tidak hanya semata-mata untuk berdagang dan pola imperialisme di Asia Tenggara menampakkan usaha dilakukan untuk membahagikan kawasan lingkungan pengaruh antara mereka supaya tidak wujud persaingan sesama mereka yang boleh mencetuskan peperangan. Perancangan yang teliti yang dibuat oleh Kuasa Eropah yang dilakukan di Asia Tenggara membolehkan mereka meluaskan pengaruh dalam lingkungan yang ditentukan tanpa merasa bimbang akan diganggu oleh kuasa lain. Keadaan ini membolehkan mereka mengeksploitasi sumber-sumber yang ada dalam kawasan masing-masing untuk kepentingan negara asal mereka sehingga mengabaikan kepentingan penduduk peribumi.

Cengkaman dan pemerasan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Eropah terhadap kuasa-kuasa Eropah berlaku begitu lama, seolah-olah mereka berjaya menidakkan sebarang penentangan oleh masyarakat peribumi terhadap dasar imperialisme yang dilakukan. Imperialisme kuasa Barat yang berlangsung beratus-ratus tahun di Asia Tenggara telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap senario politik, ekonomi, sosial, masyarakat peribumi Asia Tenggara. Kesan imperialisme yang dicorakkan oleh kuasa Eropah telah cuba diperbetulkan oleh pemerintah sekarang dalam usaha membina satu keperibadian bangsa dan maruah diri telah terjejas selama beratus tahun angkara kuasa Eropah yang tidak diundang.

No comments: