Pada kali ini penulis akan berkongsi tentang satu lagi tip paduan belajar sejarah iaitu dengan menggunakan kad tema. Untuk catatan, kaedah ini adalah pengalaman penulis sendiri semasa zaman persekolahan menengah dahulu dan lebih penting ia adalah sangat membantu pencapaian subjek sejarah penulis.
Bagaimana membuatnya?
Langkah pertama, dapatkan kad manila atau apa-apa sahaja yang boleh dipotong seperti separuh kad perniagaan atau lebih kecil mengikut kesesuaian anda.
Langkah kedua, tulis tema-tema penting topik-topik yang anda pelajari di dalam kelas atau yang anda telah baca. Untuk tujuan menulis tema ini, sila dapatkan pandangan dan nasihat guru tentang apa yang dimaksudkan tema atau konsep penting terlebih dahulu. Ingat! satu kad hanya ditulis satu tema sahaja.
Langkah ketiga, gunakan formula 5W+H untuk mengulangkaji setiap kad tema dalam koleksi anda. (Nota: '5W' merujuk kepada persoalan Who, When, Where, Why, What dan 'H' merujuk kepada How)
Contoh penggunaan kad tema: 'Perjanjian Pangkor'
Persoalan - Siapakah yang terlibat dalam perjanjian ini?
- Mengapakah diadakan perjanjian ini?
- Bilakah perjanjian ini diadakan?
- Di manakah perjanjian ini berlangsung?
- Apakah faktor-faktor kepada berlakunya? / Apakah isi-isi kandungan perjanjian?
- Bagaimanakah perjanjian ini mengukuhkan kuasa British di Perak dan negeri-negeri Melayu?
Bila anda boleh menggunakan kad tema?
Anda boleh menggunakannya bila-bila masa dan di mana-mana sahaja samada sedang menunggu bas, menunggu giliran mengambil makanan, selepas solat, menunggu guru masuk ke kelas, ketika masa senggang mahupun ketika sedang berehat santai.
Dalam erti kata lain, penggunaan kad tema adalah sangat praktikal dan memanfaatkan ruang masa yang ada. Ingat! 'Masa adalah Kehidupan.'
Cadangan tambah nilai
Selain mengulangkaji bersendirian menggunakan kad tema yang anda hasilkan, untuk menjadikan ia lebih menarik ialah dengan anda berkongsi penggunaannya dalam kumpulan studi anda bersama kawan-kawan yang lain. Ini akan mengukuhkan lagi pemahaman di samping menguatkan ingatan anda untuk jangka panjang.
Selain subjek sejarah, kad tema juga praktikal untuk diimplementasikan dalam subjek-subjek lain khususnya yang melibatkan banyak aktiviti pembacaan.
Semoga perkongsian tidak seberapa ini dapat diambil manfaatnya. Sehingga bertemu lagi dalam Minda Sejarah yang akan datang untuk kaedah dan tip belajar sejarah secara lebih efektif. InsyaAllah.
"Ingat Sejarah....Ingat Sejarah2u :p"
No comments:
Post a Comment