Menu Ekspres:

[Nota Ringkas T1: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10, Bab 11] [Nota Ringkas T2: Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8][Nota Ekspres T3][Nota Ekspres T4: Bab 8, Bab 9, Bab 10], [Nota Ekspres T5][Pembentangan Pelajar-T4. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9, Bab 10] [Pembentangan Pelajar-T5. Bab 1, Bab2, Bab 3, Bab 4, Bab 5, Bab 6, Bab 7, Bab 8, Bab 9] [Latihan T4: Set 1, Set 2, Set 3] [Latihan Topikal T5] [Analisis Soalan Popular Percubaan Sejarah SPM Negeri2 2016][Analisis Fokus 2016] [Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016] [Takwim Sekolah 2017] [Penjadualan Semula Tarikh Peperiksaan 2020]



Monday 5 January 2009

Syeikh Mohd Idris Abdul Rauf Al-Marbawi


Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi seorang ulama besar yang tidak asing di Nusantara, di Timur Tengah terutamanya di Mesir dan Makkah. Apa yang menarik mengenai ulama ini ialah perkaitan tempat kelahirannya dengan perkembangan dirinya sesudah itu. Beliau dilahirkan di Makkahtul-Mukarramah pada 28 Zulkaedah 113 H, bersamaan 1893 M. Pada tahun 1913 beliau pulang ke tanahair bersama keluarganya. Ketika berusia 10 tahun, beliau mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran di samping beberapa kitab lain.

Syeikh Mohd Idris memasuki Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Pendidikan awal yang diperolehi seterusnya ialah di Sekolah Pondok Seikh Wan Muhammad di bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak; Pondok Tuan Husain Al-Mas’udi Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Fatani, Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Berasaskan kepada pendidikan yang diterima beliau merupakan seorang pemburu ilmu agama yang serius. Hampir semua pondok dimana beliau pernah menuntut ilmu merupakan tempat tumpuan pelajar agama dari seluruh pelosok Nusantara. Sesudah memperolehi pelbagai ilmu dan pengetahuan di merata tempat, barulah Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi bertugas sebagai guru agama di negeri Perak.

Pada tahun 1924, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya mendapat ijazah ‘Aliayah. Ketika di universiti itu, beliau menyusun kamus Arab-Melayu yang pertama bagi kegunaan orang Melayu yang ingin mempelajari bahasa al-Quran (Bahasa Arab).Kamus yang tebal itu dinamakan Kamus Al-Marbawi diterbitkan pada tahun 1920-an.

Sehingga sekarang, kamus itu sudah diulang cetak tidak kurang daripada 24 kali. Kamus Al-Marbawi ini digunakan secara meluas oleh penuntut-penuntut di Pengajian Islam di Nusantara. Kamus ini dilengkapi dengan ilustrasi bagi memudahkan keterangan dan penjelasan mengenai seuatu istilah Arab dan masih belum ada lagi kamus Melayu-Arab yang dapat mengatasi Kamus Al-Marbawi sehingga kini. Bermula dengan karya pertamanya itu Kamus Al-Marbawi, Syeikh Mohd idris mula menerokai bidang penulisan secara lebih serius dan menghasilkan banyak hasil karya agama.

Antara kitab hasil karya beliau ialah Kitab Bahrul Mazi yang membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat. Kitab yang dalam tuliasan Jawi itu diterbitkan dalam 22 jilid, iaitu terjemahan dan ulasan lengkap daripada sebuah kitab Arab. Kitab itu dikatakan sebagai satu daripada kitab hadis yang terawal di negara ini.

Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi juga telah menghasilkan beberapa tafsir al-Quran dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Quran Marbawi, Tafsir Quran Nurul-Yaqin dan Tafsir Surah Yasin. Di samping itu, beliau menghasilkan sebuah lagi kitab berbentuk kamus aneka (Ensiklopedia), lengkap dengan keterangan bergambar. Kamus aneka itu diterbitkan dalam empat jilid. Beberapa karyanya yang lain ialah Tafsir Fathul Qadir, Kitab Bulughul Maram, Kitab Jami'ul Ulam, Usul Al-Islam, Nizamul Hayah, Mu’jam Al-Ka’inat (4 jilid) dan beberapa buah kitab lagi.

Berasaskan jasa beliau, pelbagai institusi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kerajaan Malaysia, memberikan penghormatan tertinggi kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dengan mengisytiharkan beliau sebagai tokoh ulama negara terulung. Pada 5 Julai 1980, UKM menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi. Anugerah berkenaan dikurniakan oleh Canselor universiti itu, Tunku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sempena konvokesyennya. Pada waktu itu, beliau berusia 86 tahun dan dicatatkan sebagai ulama yang sudah menghasilkan 21 buah karya Islam dalam pelbagai aspek.

Manakala pada 1 Muharram 1408 H, bersamaan 1987 M, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah yang pertama pada usia 95 tahun, dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 serta sebuah pingat dan sijil. Hadiah itu telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa sambutan Maal Hijrah di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

No comments: